Home » » Penyanyi 90-an Berentap Dalam Gegar Vaganza

Penyanyi 90-an Berentap Dalam Gegar Vaganza

Written By Unknown on 11 Nov 2014 | 11:06 pm


DEMI mengembalikan kegemilangan muzik era 90-an, Astro memperkenalkan sebuah lagi program realiti, Gegar Vaganza yang menampilkan penyertaan daripada 12 penyanyi tempatan yang pernah mencipta nama di persada seni sekali gus menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu.

Mereka ialah Mamat Exist, Rahmat Mega, Hasnol, Fazli Zainal, Sam Innuendo, Ayai Ilusi, Haleeda, Nadia, Shima, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad memberitahu Gegar Vaganza diwujudkan demi memperlihatkan kembali kehebatan vokal dan persembahan barisan artis profesional ini.
"Sudah tiba masanya, kami menyediakan platform seperti ini kepada penyanyi profesional.

"Di samping berhibur, mereka juga boleh menggunakan platform ini bagi meningkatkan daya keyakinan, kesungguhan serta keazaman," katanya.

Tidak seperti program realiti lain, Gegar Vaganza tidak mengamalkan sistem undian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada juri tetap dalam menentukan keputusan.

"Juri tetap yang terlibat ialah Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.

"Selain itu, program ini turut membawa tiga juri jemputan iaitu Mamat Khalid, Salih Yaacob dan Nash (Lefthanded)," katanya.

Jelas Raqim, penyertaan barisan artis profesional dalam program realiti ini bukanlah bertujuan merendah-rendahkan kredibiliti.

"Kami mengakui kehebatan mereka tetapi mengenai soal merendahkan taraf artis profesional, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana program ini tidak langsung melibatkan undian SMS.

"Dua juri tetap pula terdiri daripada mereka yang juga profesional dalam bidang muzik dan akan menilai persembahan peserta mengikut format dan kriteria yang ditetapkan," katanya.
Katanya lagi, pemilihan penyanyi-penyanyi ini berdasarkan kemampuan mereka masih hebat dalam persembahan nyanyian.

"Kami perlu mengikut masa mereka yang kebanyakannya ada kerjaya masing-masing.

"Jangan terkejut apabila menyaksikan program ini kerana mereka masih lagi menyengat," ujarnya.

Juara Gegar Vaganza membawa pulang wang tunai RM100,000 dan naib juara menerima RM30,000, manakala tempat ketiga dan keempat menerima RM15,000 dan RM5,000.

Gegar Vaganza akan bersiaran 16 November ini setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Program ini dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
 
Support : Tonton Drama | Google | Blogger | Facebook
2014 Blog Hiburan Semasa
Template Created by Creating Website Proudly powered by Blogger